CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, June 16, 2009

Hari Ibu: Benarkah ia bukti ketaatan sejati?

Ibu.... Ibu.... Engkaulah ratu hatiku. Hari Ibu disambut pada hari yang berbeza di antara negara mengikut pelbagai asal-usulnya. Ternyata, pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun, Malaysia merupakan antara negara yang akan menyambut hari ibu.

Golongan wanita terutama yang bergelar ibu, sudah pasti merasakan hari ibu adalah hari untuk diri mereka diraikan dan disanjung oleh si anak. Ibu merupakan insan yang tidak pernah mengenal erti perit jerih tatkala melahirkan seterusnya bertanggungjawab membesarkan cahayamatanya dengan penuh kasih sayang. Seorang wanita yang sanggup mengorbankan kepentingan dirinya dalam mengharungi pelbagai cabaran demi untuk kesejahteraan si anak. Apa yang pasti setiap kali menjelang bulan Mei kad-kad ucapan dari anakanda tersayang akan lebih menyemarakkan kedatangan bulan tersebut. Tidak lupa juga tradisi menghadiahkan jambangan bunga, barangan kemas bernilai puluhan ribu, pakej pelancongan keluar negara dan sebagainya disediakan pada hari tersebut semata-mata untuk meraikan sambutan Hari Ibu Sedunia ini. Perayaan tahunan yang lahir dari ciptaan barat diraikan begitu meriah mengikut acuan mereka yang sudah pasti untuk semua golongan bangsa tidak terkecuali umat Islam. Saat paling bermakna adalah ketika anak-anak berkumpul bersama-sama meluangkan masa bersama ibu dan bapa bagi meraikan hari tersebut. Bagi ibu, itulah saat paling bahagia dan paling dinantikan yang pasti akan sentiasa berada dalam lipatan memorinya. Bukan hadiah mahal dan indah yang dinantikan tetapi cukup dengan ingatan dan kunjungan dari anak-anak yang membahagiakan jiwa sang ibu.

Sejarah Hari Ibu
Satu aliran pemikiran mengakui bahawa perayaan ini lahir dari satu adat pemujaan ibu di Yunani Purba, yang menyambut satu perayaan untuk Cybele, ibu dewa-dewi Yunani yang agung. Perayaan ini diadakan sekitar equinoks musim bunga di Asia Kecil dan tidak lama kemudian di Rom dari 15 hingga 18 Mac. Orang Rom Purba juga menyambut sebuah perayaan bernama Matronalia yang memperingati Dewi Juno, dan ibu lazimnya diberi hadiah pada hari tersebut.

Justifikasi Sambutan Hari Ibu
Jika dilihat sambutan hari ibu yang telah disambut dengan meriah di Malaysia khususnya, rata-rata umat beranggapan bahawa hari ibu merupakan hari yang seharusnya seorang anak mengingati dan menghargai keberadaaan ibu yang telah membesarkan dan mendidik agar anak menjadi insan yang berguna.

Sebahagian umat Islam di Malaysia beranggapan bahawa Hari Ibu yang jatuh dalam bulan Mei disambut bukan untuk mengikuti tradisi atau hadharah Barat, tetapi merasakan mereka berhak untuk dijaga, dihormati, dikasihi, ditaati selagi tidak melakukan kemaksiatan kepada Allah Subhanahu wa Taala. Mereka berpendapat bahawa, jasa ibu yang tiada tolok bandingnya dan tidak akan terbalas hingga ke hujung nyawa sekalipun harus dihargai pada hari khusus ini. Sememangnya, ketaatan kepada ibu, bukan hanya untuk hari tersebut, namun harus ditunjukkan setiap hari, tempat dan setiap masa hatta apabila ibu tersebut telah meninggalkan dunia fana ini sekalipun.

Kepada penganut agama lain, Hari Ibu adalah sebahagian lambang ketaatan yang dipupuk dalam diri anak-anak sejak kecil. Dalam tradisi agama Buddha contohnya, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Cina, Universiti Malaya, Dr. Yam Kah Kean menjelaskan, ketaatan kepada ibu bapa adalah sifat penting di dalam budaya masyarakat Cina. Tradisi ini menekankan dan mempraktikkan ketaatan telah dikesan semenjak sebelum kewujudan fahaman Konfusianisme lagi. Malah perlakuan mentaati itu bukan sekadar dalam lingkungan ibu bapa yang masih hidup sahaja tetapi melangkaui ke alam selepas mati. Konsep ini terbawa dengan signifikan agama dan amalan memuliakan nenek moyang yang masih meresap dalam tradisi Cina hingga sekarang.

Katanya lagi, definisi tentang ketaatan kepada ibu bapa di dalam tradisi masyarakat Cina merangkumi enam perkata iaitu mematuhi, memperingati, menyokong, menghormati, tidak membuat mereka risau atau bersedih dan ia adalah asas kepada segala kebaikan. Di China baru-baru ini, sesetengah orang mula memupuk Hari Ibu sebagai memperingati Meng Mu, ibu kepada Mencius, tetapi masih belum menjadi perayaan rasmi kecuali di beberapa bandar sahaja.

Layanan kepada Ibu menurut Islam
Islam memerintahkan penganutnya untuk berbuat baik dan berbakti kepada ibu sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Taala dan hadis berikut:

"Dan Tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'aah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." [TMQ Surah al-Isra(17): 23-24]

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud: "Aku pernah bertanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam: Apakah amalan yang paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada Baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda." [Hadis Riwayat Muslim]

Ketaatan serta kasih sayang yang mesti ditunjukkan oleh anak-anak kepada ibunya tidak terputus terhadap ibu yang kafir. Siapa pun mereka, apapun agama mereka, ibu tetap berhak diberi ketaatan. Jasa mereka yang mengandungkan anak selama sembilan bulan, bertarung nyawa untuk melahirkan dan berhempas pulas untuk membesarkan, melayakkan mereka untuk menerima penghargaan dari si anak kelak. Namun, harus diingat, selagi ianya tidak membawa kepada kemurkaan Allah Subhanahu Wa Taala dan kekasihNya Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam selagi itulah ibu mesti ditaati. Ini berdasarkan kepada hadis berikut:

Diriwayatkan daripada Sa'id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa'ad adalah seorang kafir. Kerana terlalu benci kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, pada suatu hari Ummu Sa'ad berkata kepada anaknya, "Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam." [Hadis Riwayat Muslim]

Berikutan peristiwa itu, Allah menurunkan ayat yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang telah kamu kerjakan." [TMQ Surah al-Ankabut(29): 8]

Peristiwa di atas dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau – dengan akal fikiranmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan." [TMQ Surah Luqman(31): 14-15]

Khatimah
Islam yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala merupakan agama yang lengkap dan penuh dengan syariat. Islam yang merupakan rahmatan lil Alamin iaitu rahmat bagi sekalian alam sama sekali tidak mengendahkan bagaimana umatnya menunjukkan ketaatan kepada kedua ibubapanya. Islam juga mengajar umatnya agar senantiasa melakukan ketaatan bukan hanya kepada ibu malahan yang lebih utama adalah ketaatan kepada Pencipta seluruh alam ini. Hari Ibu adalah hari di mana ibu itu sentiasa dihormati dan ditaati setiap hari, bukan hanya bulan-bulan tertentu yang disambut seperti tradisi Barat. Ibu hendaklah dilayani dengan baik dan dicurahkan kasih sayang bukan hanya pada satu hari tertentu, sebaliknya sepanjang masa selama 365 hari. Budaya hedonisme yang sinonim dengan masyarakat Barat menyebabkan mereka sibuk mengejar kemewahan dan kenikmatan duniawi. Justeru mereka mengadakan suatu “Hari Ibu” untuk mengingatkan mereka bahawa mereka masih mempunyai ibu. Senario ini berbeza dengan ajaran Islam yang memerintahkan umatnya berbuat baik kepada ibu sepanjang masa.

Sebagai Muslim, selain melakukan kebaikan kepada Sang Ibu, sesuatu yang sangat wajar dilakukannya untuk membalas kasih sayang ibu yang bersusah payah menjaga semenjak kecil adalah dengan berusaha menjadi anak yang soleh kerana doa dari anak yang soleh akan dapat membantu sang ibu sungguhpun setelah bercerai nyawa dari jasad. Itulah yang lebih menjadi perkara utama yang mereka harapkan dari seseorang yang bergelar anak.

Setiap Muslim hendaklah merasa mulia dan bangga dengan agamanya serta merasa cukup dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya dalam agama yang lurus ini yang telah diredhai Allah untuk para hambaNya. Maka hendaknya tidaklah dia menambahi dan tidak mengurangi. Seterusnya, hendaknya setiap Muslim tidak menjadi pak turut yang menirukan setiap ajakan hingga melakukan dosa akibat dari tasyabuh bil Kuffar (menyerupai orang Kafir) sebaliknya dia menjalankan syari'at Allah Subhanahu wa Taala, dan menjadikan peribadi RasulNya sebagai panutan yang ditiru, bukan yang meniru, sehingga menjadi suri teladan dan bukan penciplak, kerana syari'at Allah itu sungguh sempurna dari segala sisinya, sebagaimana firmanNya: "Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Kuredhai Islam itu jadi agamamu. " [TMQ Al-Ma'idah(5): 3]. Wallahu ‘alam bisshawab.

0 comments: