CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, June 16, 2009

Permasalahan Sosial - Sampai Bila???

Mutakhir ini, permasalahan gejala sosial di Malaysia nampaknya semakin menjadi-jadi dan tiada berkesudahan malahan sangat membimbangkan. Jumlah kes-kes yang dilaporkan menunjukkan permasalahan ini semakin parah. Ini tidak termasuk kes-kes yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa atau tidak sampai kepada pengetahuan umum. Ketika ini, saban hari kita didedahkan dengan pelbagai masalah gejala sosial di media-media cetak dan massa sehinggakan masyarakat tidak memandangnya sebagai sesuatu yang luar biasa, sudah lali, malah pasrah dengan masalah ini. Pada satu-satu masa dapat kita lihat kes-kes permasalahan sosial meningkat dengan begitu drastik sekali seolah-olah ada satu baja yang menjadi pemangkin kepada kesuburan masalah ini seiring dengan kemajuan yang dikejar-kejar oleh Malaysia. Semakin maju sesebuah negara itu, maka semakin maju jugalah permasalahan sosial yang terjadi di tengah-tengah umat. Siapa yang tidak pernah terbaca tentang jenayah rogol, liwat, cabul, sumbang mahram dan sebagainya. Dari kes remaja sekolah dirogol teman internet atau teman yang baru beberapa jam dikenali, kes bomoh merogol dan meraba pesakit, kes sumbang mahram melibatkan bapa kandung rogol anak kandung, abang kandung rogol adik kandung dan sebagainya.

Segelintir pihak menganggap ianya bukan urusan mereka, tidak ada kaitan langsung dengan kehidupan mereka kerana ianya tidak terjadi di kalangan ahli keluarga terdekat, saudara-mara atau jiran tetangga. Namun begitu, tidak kurang juga yang sangat mengambil berat dengan isu-isu gejala sosial ini sehingga menjadikan ia sebagai isu perbincangan di mana-mana sahaja, masyarakat menyuarakan rasa tidak puas hati dan mengutuk tindakan pelaku-pelakunya malah dijadikan juga sebagai bahan kajian atau tesis oleh para mahasiswa.

Akhbar The Star pada hari Isnin 27 April, 2009 melaporkan hampir 60% gadis berumur antara 13 hingga 15 tahun pernah melakukan hubungan seks disebabkan ingin membalas dendam terhadap ibu bapa yang telah mengabaikan mereka. Satu kes sumbang mahram dan sekali gus rogol berlaku di Johor Bahru ke atas seorang gadis berumur 15 tahun yang kini hamil 7 bulan, di mana bapa kandungnya dan sahabat bapanya telah merogolnya sejak dia berumur 12 tahun. Penolong Pesuruhjaya Suguram Bibi Munshi Deen, Ketua Bahagian Siasatan Penderaan Seksual Kanak-kanak, Bukit Aman pula melaporkan kes-kes rogol sehingga mangsa hamil di kalangan remaja meningkat sejak 2005 dan kes-kes berlaku kebanyakannya di bandar-bandar utama di sekitar Selangor, Johor dan Kedah dan statistik dari tahun 2005 sehingga 2008, menunjukkan 75% daripada mangsa rogol berumur 18 tahun dan sekurang-kurangnya 60% adalah gadis di bawah umur 16 tahun, manakala remaja lelaki berumur di bawah 18 tahun menyumbang antara 8.4% dan 13.6% sebagai pelaku dalam kes rogol. Jika kita telusuri dari laporan kes-kes yang berlaku hampir setiap hari dan statistik yang dikeluarkan oleh PDRM dan sebagainya, dapat kita simpulkan bahawa permasalahan ini sebenarnya disebabkan tiada sistem hukuman yang berkesan yang dapat menghukum pelakunya sehinggakan terdapat kes-kes yang dilakukan oleh pelakunya dilakukan berulang kali malah tidak kurang juga munculnya kes-kes baru yang menunjukkan hukuman yang dikenakan ke atas pelakunya langsung tidak menunjukkan umat takut dengan hukuman itu. Malah hukuman yang dikenakan juga tidak setimpal dengan apa yang dilakukan, lalu tidak hairanlah jika ada sahaja kes-kes baru yang dilaporkan.

Kaedah penyelesaian berdasarkan hukum akal
Kaedah penyelesaian yang disarankan oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan sendiri tidak juga dapat menyelesaikan permasahan sosial yang sangat serius berlaku ketika ini bahkan memburukkan lagi keadaan di tahap yang sangat membimbangkan. Ini berpunca daripada konsep kebebasan yang diagung-agungkan oleh Barat dan telah meracuni pemikiran umat Islam sehingga ianya dijadikan sebagai asas dalam setiap tindakan dan perbuatan mereka. Standard/tolok ukur perbuatan halal dan haram dalam Islam tidak digunapakai dan tidak diendahkan lagi sebaliknya mereka lebih bangga memilih budaya Barat sebagai panduan hidup. Apabila perbuatan-perbuatan mereka dipertikaikan atau ditegah, maka mereka menggunakan istilah hak asasi manusia yang mana ia juga adalah idea Barat. Selain itu, apabila berlaku sesuatu permasalahan sosial di tengah-tengah masyarakat, ada sahaja pihak yang tampil dengan pelbagai kaedah penyelesaian yang dapat menyelesaikan masalah tersebut tetapi ada pula pihak-pihak lebih sibuk menuding jari dan menyalahkan pihak-pihak tertentu daripada memberikan penyelesaiannya. Kebiasaannya yang menjadi mangsa yang dipersalahkan adalah ibu bapa, guru-guru, rakan sebaya, media massa, internet dan sebagainya.

Sebahagian umat Islam melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO) mengadakah rumah-rumah perlindungan untuk gadis-gadis liar yang telah hamil dengan harapan langkah ini akan dapat ‘menyelamatkan’ gadis-gadis yang terlanjur sehingga mereka dapat mencari jalan pulang. Akibatnya, sebahagian masyarakat berpendapat, tidak mengapa melakukan kesalahan kerana mereka boleh merujuk kepada pusat-pusat perlindungan ini.

Sementara itu, dalam hal ini pihak kerajaanlah kononnya yang seharusnya dipuji kerana tampil dengan kaedah penyelesaian yang hebat setiap masa. Setiap kali timbul permasalahan sosial yang baru, Parlimen menjadi medan untuk mencari jalan penyelesaian dengan cara menggubal akta yang baru di samping meminda akta-akta yang sedia ada mengikut kesesuaian dan kemahuan mereka. Pemimpin-pemimpin Muslim dan kafir berkumpul, bersatu hati menjadikan hukum kufur Barat yang bersumber dari akal untuk tetap dipegang teguh dan letakkan di tempat yang tertinggi. Pihak kerajaan menjadikan pihak berkuasa sebagai penanggungjawab utama yang akan mengawal dan menyelesaikan segala permasalahan sosial yang timbul walhasil masalah ini tetap berlarutan dan pihak berkuasa hanya hebat dalam mengumpul dan mencatat statistik kes-kes berlaku. Jika dilihat dengan teliti, semakin giat kerajaan dan pihak-pihak berkenaan cuba menangani masalah tersebut dengan kaedah-kaedah penyelesaian mereka, maka semakin rancak pulalah kes-kes baru yang akan muncul. Oleh itu, sampai bilakah permasalahan ini akan selesai atau bolehkah permasalahan ini selesai dengan menggunakan sistem kufur Barat yang bersumberkan akal? Atau bagaimana sebenarnya permasalahan ini dapat diselesaikan dengan syari’at Islam?

Kaedah penyelesaian dalam Islam
Sesungguhnya sesuatu yang perlu kita ketahui dan sedia maklum, orang-orang kafir Barat tidak menjadikan agama sebagai panduan hidup mereka. Agama hanya untuk tujuan kerohanian semata-mata bagi memenuhi naluri beragama (gharizah at-taddayun). Namun begitu, mereka menjalani hidup seharian dan menyelesaikan masalah hidup mereka berpandukan akal semata-mata tanpa panduan daripada agama mereka. Ini sama sekali berbeza dengan umat Islam yang mempunyai panduan hidup yang mana kita pasti tidak akan sesat sekiranya kita berpegang teguh kepada kedua-duanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.

Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala: “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”. [TMQ Surah al-Baqarah (2): 208] Tetapi sayang sekali umat Islam hari ini lebih cenderung memilih panduan dan sistem yang mengatur kehidupan mereka selain daripada Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Umat Islam menjadikan akal semata-mata sebagai sumber utama dalam penyelesaian masalah kehidupan malah mereka tidak menyedari bahawa mereka terus-menerus sesat. Justeru itu, buktinya memang telah nyata di mana semua permasalahan kehidupan umat tidak dapat diselesaikan hingga ke akar umbi tetapi mereka hanya menyembuhkan penyakit dengan mengubati simptom-simptomnya sahaja yang mana penyakit tetap sahaja tidak dapat disembuhkan dan masalah tetap sahaja tidak dapat dituntaskan. Ini adalah janji Allah Subhanahu wa Taala yang mana umat Islam pasti akan sentiasa dalam kesulitan sekiranya mengambil selain daripada Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya sepertimana dalam firman-Nya: “Dan tidaklah patut bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan mengenai sesuatu perkara (tidaklah patut mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dalam kesesatan yang jelas nyata”. [TMQ Surah Al-Ahzab (33): 36]

Persoalannya sekarang, adakah umat Islam masih tetap dengan pendirian mereka untuk menjadikan akal sebagai sumber hukum? Sesungguhnya telah ada penyelesaian yang hakiki yang jelas dapat menyelesaikan segala macam masalah umat yang mungkin tidak terfikir dek akal manusia yang terbatas.

Penyelesaian hakiki yang dapat menyelesaikan semua permasalahan sosial umat yang akan dijelaskan di sini tidak lain dan tidak bukan adalah Islam yang menjadi satu-satunya solusi. Islam adalah ideologi yang sempurna dan lengkap dengan akidah dan syariah. Islam mempunyai akidah yang memancarkan sistem iaitu bahawa Islam mempunyai tatacara atau peraturan hidup yang mengatur segala urusan umat dan juga menyelesaikan dan memecahkan permasalahan yang dihadapi umat. Sebenarnya telah jelas kini bahawa segala punca permasalahan umat adalah kerana Islam tidak dijadikan satu-satunya panduan dan pegangan oleh umat Islam dan seterusnya tidak diterapkan di tengah-tengah kehidupan umat. Umat Islam terutamanya para pemimpin lebih cenderung memilih sistem kufur sebagai sumber hukum mereka seterusnya mengagung-agungkannya seolah-olah hanya sistem kufur sahajalah satu-satunya sistem yang ada di dunia ini yang sesuai untuk digunapakai.

Cara berfikir para pemimpin juga telah dipengaruhi oleh cara berfikir kafir Barat dan cara berfikir itulah yang telah dipaksakan ke atas rakyat di bawah pimpinannya. Para pemimpin mempunyai kuasa veto untuk membuat undang-undang sendiri sesuka hati mereka mengikut akal mereka tanpa ada perasaan takut meninggalkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya sebagai sumber hukum tetapi mengambil undang-undang yang batil itu untuk diterapkan di tengah-tengah umat dan umat terpaksa mengikutinya samada setuju atau tidak. Padahal Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman: “Maka demi tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya”. [TMQ an-Nisa’ (4): 65]

Justeru itu, sesungguhnya permasalahan umat pastinya dapat diselesaikan sekiranya Islam dikembalikan sebagai peraturan hidup dengan mengambil Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya sebagai satu-satunya sumber hukum dengan menerapkan hukum Allah Subhanahu wa Ta’ala di tengah-tengah umat. Ini kerana sekiranya peraturan yang diterapkan daripada sumber yang haq, maka sudah pastinya tiada unsur-unsur yang tidak baik yang akan mendorong umat manusia untuk melakukan kerosakan atau perkara-perkara yang akan menyebabkan mereka dikenakan hukuman oleh negara. Apabila kita teliti dari segi aspek potensi kehidupan manusia, maka di situ kita akan dapat mengetahui bahawa potensi kehidupan terdiri daripada dua iaitu: 1) keperluan jasmani (al-hajat al-udhuwiyah) yang mana manusia memerlukannya untuk terus hidup iaitu seperti makan, minum, bernafas dan sebagainya, 2) naluri (al-gharizah) adalah khasiat yang merupakan fitrah yang terdapat dalam diri manusia agar manusia mendapatkan ketenangan dengan pemenuhan naluri ini. Permasahan sosial yang berlaku juga adalah di sebabkan oleh salah satu naluri iaitu naluri seksual (gharizah an-nau’) yang tidak diatur sesuai dengan Islam yang mana mengakibatkan berlakunya kes-kes rogol, sumbang mahram, zina dan sebagainya. Padahal Islam sejak awal-awal lagi telah mengatur kehidupan sosial manusia dengan menetapkan garis panduan yang lengkap iaitu sistem pergaulan dalam Islam (an-nizham al- ijtima’i) yang mana ianya hanya perlu dipatuhi dan diikuti, sebagai contoh, Islam telah menentukan sistem perkahwinan, batasan pergaulan antara lelaki dan wanita, batasan aurat antara lelaki dan wanita, penetapan pakaian wanita Muslimah dan sebagainya. Sekiranya garis panduan dan peraturan ini dipatuhi, pasti ianya dapat mencegah manusia daripada melakukan perkara-perkara yang mendorong ke arah penyimpangan seksual.

Beberapa garis panduan dan ketetapan yang telah ditetapkan dalam Islam adalah seperti berikut:
1. Islam menggalakkan umatnya yang berkemampuan untuk menikah melalui sabda Baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam: “Wahai para pemuda, siapa di antara kalian yang memiliki kemampuan, maka menikahlah, kerana menikah itu bisa menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Dan siapa yang tidak mampu, berpuasalah karena puasa itu bisa menjadi kendali baginya”. [Riwayat Bukhari, Kitab an-Nikah, no. Hadis: 5066]. Pernikahan ini akan dapat menyalurkan nafsu syahwat dengan jalan yang halal dan mengelakkan perzinaan.

2. Islam telah memerintahkan kepada manusia, samada lelaki atau pun wanita untuk menundukkan pandangan. Allah Subhanahu wa Taala berfirman: “Katakanlah kepada lelaki Mukmin, hendaklah mereka menahan pandangannya (melihat yang terlarang) dan menjaga kehormatannya (daripada zina), sesungguhnya Allah Maha Tahu atas apa yang mereka lakukan. Katakanlah kepada wanita Mukmin, hendaklah mereka menahan pandangannya (melihat yang terlarang) dan menjaga kehormatannya (daripada zina)”. [TMQ Surah an-Nur (24): 30-31] Dengan menundukkan pandangan, walaupun hukum asalnya mubah kerana yang dipandang adalah darah daging sendiri, seseorang akan dapat menghindari dirinya dari terjebak dalam gejala haruan makan anak.

3. Islam memerintahkan kepada wanita untuk mengenakan pakaian secara sempurna yakni pakaian yang menutup seluruh tubuhnya kecuali wajah dan telapak tangannya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Janganlah mereka menampakkan perhiasannya selain yang biasa nampak padanya. Hendaklah mereka melabuhkan tudung (khimar) ke bahagian dada mereka”. (TMQ Surah an-Nur (24) :31]. Islam juga memerintahkan Muslimah untuk mengenakan jilbab sebagaimana maksud firman Allah: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan wanita-wanita Mukmin, hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. [TMQ Surah al-Ahzab (33) :59] Pada hari ini, kita menyaksikan wanita bebas mengenakan sebarang pakaian dan mendedahkan aurat mereka di tempat umum tanpa dikenakan hukuman oleh para penguasa menyebabkan kejadian rogol berlaku apabila rangsangan syahwat tidak dapat disalurkan pada jalan yang halal.

4. Islam melarang seorang wanita melakukan safar (perjalanan) dari suatu tempat ke tempat yang lain selama sehari semalam, kecuali jika disertai dengan mahramnya. Rasulullah Sallaulahhu Alaihi wa Sallam bersabda: “Tidak dibolehkan seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir melakukan perjalanan selama sehari semalam, kecuali jika disertai mahramnya”. [HR Bukhari dan Muslim]

5. Islam melarang lelaki dan wanita untuk berkhalwat (berdua-duaan), kecuali wanita itu disertai mahramnya. Rasullulah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda: “Tidak dibolehkan seorang lelaki dan wanita berkhalwat kecuali jika wanita itu disertai mahramnya”. [HR Muslim]. Realiti pada hari ini, masyarakat Islam seakan menganggap lelaki-wanita bebas berdua-duaan samada di tempat khusus seperti dalam kenderaan peribadi dan di khalayak ramai. Akibatnya, anak-anak gadis juga bebas membonceng motosikal lelaki yang baru dikenali hingga kehormatan mereka dicabul.

6. Islam melarang wanita untuk keluar dari rumahnya kecuali dengan izin suaminya atau walinya.

7. Islam sangat menjaga agar dalam kehidupan khusus hendaknya jemaah (komuniti) kaum wanita terpisah dari jemaah (komuniti) kaum lelaki.

8. Islam sangat menjaga agar hubungan kerjasama antara lelaki dan wanita hendaknya bersifat umum dalam urusan muamalat, bukan hubungan yang bersifat khusus seperti saling mengunjungi antara wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya.

Justeru itu, ketetapan-ketetapan di atas wajib dipatuhi oleh setiap umat Islam dan dalam memastikan ketetapan-ketetapan tersebut dipatuhi adalah menjadi tanggungjawab ahli masyarakat dan juga negara. Ini kerana Islam sebagai ideologi akan dapat dilaksanakan secara utuh apabila tiga asas penerapan hukum Islam ada dalam kehidupan umat iaitu: 1) ketaqwaan individu yang mendorongnya untuk terikat kepada hukum syara’ 2) kawalan masyarakat yang mana manusia memerlukan kepada manusia yang lain untuk mengawal dirinya, dan 3) negara Islam yang menerapkan syari’at Islam secara utuh.

Masyarakat wajib mengubah kemungkaran yang dilihatnya manakala negara bertanggungjawab mengenakan hukuman apabila umat melanggar sesuatu ketetapan yakni hukum syara’.Tanggungjawab Negara (Daulah) ini adalah dalam bentuk pelaksanaan hukuman seperti hudud untuk pesalah zina. Pelaksanaan hukum Islam sangat berkesan kerana ia mempunyai dua fungsi iaitu sebagai zawajir (pencegahan) dan jawabir (penebus dosa di akhirat). Apabila seseorang melakukan kesalahan, maka dia akan berhadapan dengan hukuman dari Al-Khaliq yang akan dilaksanakan oleh Negara (Daulah) dan dia juga tidak akan berhadapan dengan azab seksaan Allah Subhanahu wa Ta’ala di akhirat nanti.

Khatimah
Walaupun telah jelas nyata bahawa hukum Islam adalah satu-satunya penyelesaian yang hakiki kepada setiap permasalahan umat dan sebagai satu peraturan hidup yang lengkap dan sempurna, tetapi umat Islam tetap mengambil hukum kufur untuk diterapkan di tengah-tengah umat. Walaupun, telah jelas pelbagai permasalahan umat terutamanya gejala sosial yang semakin meruncing, namun para pemimpin tidak pernah cuba memikirkan alternatif lain yang sebenarnya telah ada dihadapan mereka dan tidak perlu dicari-cari lagi. Penyelesaiannya adalah Islam semata-mata dan kerana itulah Islam disebut sebagai rahmatan lil ‘alamin. Ini kerana dengan Islam sahaja setiap umat samada lelaki dan wanita dapat melalui kehidupan mereka dengan aturan yang benar yakni aturan dari Allah Subhanahu wa Taala. Tetapi apakan daya, para pemimpin sangat teruja untuk memegang teguh tali ikatan kepada sistem kufur Barat. Mereka berusaha bersungguh-sungguh agar sistem kufur ini tetap diterapkan walau apa cara sekalipun.

Para pemimpin khususnya dan umat Islam amnya sepatutnya membuka mata mereka seluas-luasnya dan memikirkan sedalam-dalamnya bahawa permasalahan sosial dan permasalahan-permasalahan lain yang dihadapi dalam kehidupan ini tidak sekali-kali akan dapat dituntaskan jika mereka tetap teguh dengan pendirian mereka untuk berpegang dengan sistem kufur Barat. Sesungguhnya Sistem Islamlah yang sangat diperlukan oleh umat dalam menghadapi situasi umat yang sangat kritikal ketika ini bukannya sistem kufur yang berlandaskan akal semata-mata. Dalam erti kata lain, kita sebenarnya memerlukan kekuasaan (Khilafah) yang dipimpin oleh seorang penguasa (Khalifah) yang akan melangsungkan kehidupan Islam dengan menerapkan hukum Allah Subhanahu wa Taala di muka bumi ini secara total sebagai peraturan hidup kepada umat manusia. Wallahu ‘alam bisshawab.

0 comments: